Friday, February 19, 2010

1.0 Pengenalan

Kanak-kanak merupakan aset negara yang perlu dipupuk dan dicema supaya menjadi warganegara yang dapat mendukung wawasan negara.Setiap kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mendapat pendidikan diperingkat prasekolah. Kegagalan menyediakan peluang pendidikan dan memperkembangkan potensi mereka sudah pasti merugikan dan memjejaskan masa depan negara.

Pengajaran dan pembelajaran hendaklah berasaskan satu proses interaksi yang berterusan di antara murid dan guru. Proses interaksi ini boleh berpusatkan pelajar atau berpusatkan guru. Pembelajaran berpusatkan guru, guru bertanggungjawab sepenuhnya menentukan objektif pembelajaran, merangka tugasan pembelajaran dan memilih sumber pembelajaran bagi muridnya. Sebaliknya, dalam pembelajaran berpusatkan murid, pelajar adalah ‘autonomous’ dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya menentukan hala tuju proses pembelajaran mereka. Proses dan arah pembelajaran daripada pembelajaran berpusat guru kepada berpusat murid mengambil masa. Proses tersebut akan meningkat mengikut umur dan kematangan pelajar.

1.2 Strategi ke arah pembelajaran berpusatkan murid

  • Mewujudkan pengalaman pembelajaran yang dapat menarik minat pelajar serta menggalakkan penglibatan mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

  • Memberi peluang kepada pelajar belajar secara individu, kumpulan dan kelas.
    Melibatkan pelajar dalam membentuk proses pembelajaran melalui rundingan berasaskan kekuatan dan kelemahan pelajar.

  • Memberi pelajar kebebasan membuat pilihan tentang bahan sumber dan aktiviti pembelajaran.

  • Mewujudkan prosedur pemantauan agar pelajar bertanggungjawab ke atas apa yang mereka pelajari.

  • Menentukan kriteria penilaian secara kolaboratif antara guru dan pelajar.

  • Merancang penilaian berterusan secara kolaboratif.



2.0 Kaedah Pembelajaran Secara Koperatif

Sebagai pendidik kita bertanggungjawab untuk membantu setiap pelajar meningkatkan minat dan kecenderungan mereka kearah pelajaran. Pelajar juga digalakkan membina jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menggunakan idea dan hipotesis yang telah dibina (Mohd Fadzli, 2001). Keadaan ini boleh dilaksanakan dengan mengambil langkah menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan. Ini termasuklah amalan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada amalan pembelajaran berpusatkan pelajar, misalnya dengan menggunakan pendekatan secara kumpulan. Pendekatan ini mempunyai kelebihan kerana mereka berpeluang berinteraksi antara satu sama lain dan boleh belajar melalui pengalaman sendiri.

...Amalan pembelajaran berpusatkan pelajar misalnya menggunakan pendekatan belajar secara berkumpulan memberi peluang murid-murid berinteraksi antara satu sama lain dan boleh belajar melalui pengalaman sendiri...

Pelajar-pelajar melakukan aktiviti secara aktif semasa proses pembelajaran dan ini meliputi pengalaman pembelajaran yang dirasai dan dialami sendiri oleh mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Semasa pelajar-pelajar belajar dalam kumpulan, mereka boleh berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) serta mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi (sosial). Justeru itu adalah diharapkan apabila pelajar-pelajar yang keluar dari bangku sekolah nanti, mereka akan mencerminkan diri mereka sebagai insan yang menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Kaedah kumpulan merupakan satu inovasi dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar khususnya dalam pembelajaran matematik. Kumpulan murid terbahagi kepada dua iaitu kumpulan sama kebolehan dan kumpulan pelbagai kebolehan. Kaedah kumpulan sama kebolehan membolehkan guru membimbing pelajar-pelajar mengikut kebolehan di samping menjalankan aktiviti-aktiviti pengayaan dan pemulihan mengikut keperluan masing-masing. Kaedah kumpulan pelbagai kebolehan memberikan pelajar-pelajar peluang mengamalkan pengajaran sebaya, memupuk semangat kerjasama dan bertimbang rasa, perkembangan sahsiah dan kemahiran sosial (Buku Panduan KBSR, 1982).

Kaedah pembelajaran sekarang masih tidak melibatkan murid semasa proses pembelajaran di bilik darjah. Guru perlu merancang dan memilih kaedah pengajaran yang sesuai supaya pembelajaran berlaku dalam keadaan yang dapat merangsang minat dan tumpuan serta belajar bersungguh-sungguh. Menyedari hakikat ini, maka sewajarnya guru-guru prasekolah memilih pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh menarik minat para pelajar. Noraini (1994) menyatakan di antara faktor-faktor yang boleh menarik dan merangsangkan minat seseorang kepada sesuatu perkara iaitu:

  • Pendengar atau pengguna sedar atau tahu bahawa perkara atau benda itu berguna atau berfungsi kepadanya.

  • Ia disampaikan atau dipersembahkan kepadanya dengan cara dan gaya yang menarik.

  • Perkara atau benda itu indah, mengembirakan dan menyeronokkan.

Guru perlu merancang dan memilih kaedah pengajaran yang sesuai supaya pembelajaran berlaku dalam keadaan yang dapat merangsang minat dan tumpuan serta belajar bersungguh-sungguh. Pendekatan yang menggalakkan pelajar-pelajar belajar dan mencari ilmu sendiri perlu dipupuk di samping guru sebagai pembimbing, membimbing supaya mereka lebih ekspresi kendiri yang kreatif. Iklim bilik darjah pembelajaran dibina bertujuan memperkembangkan inovasi pelajar-pelajar supaya mempunyai lokus kawalan dalaman disebabkan yang menggerakkan mereka ialah dirinya sendiri dan standard yang hendak dicapai juga adalah relatif kepada dirinya sendiri. Pemikiran kritikal dipupuk kerana proses pembelajaran ialah induktif.

Pada asasnya Pembelajaran Koperatif merupakan suatu kaeadah yang menggunakan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar. Kaedah ini berstruktur dan menekankan penguasaan konsep pengetahuan maklumat dan kemahiran penyelesaian masalah matematik. Kaedah ini juga mempunyai teknik-teknik tertentu serta ciri-ciri yang tersendiri. Selain daripada pelajar memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah yang semaksimum mungkin, mereka juga boleh bersosialisasi. Namun begitu sebagai seorang guru, apa yang diperhatikan ialah guru-guru tidak gemar mengajar secara kumpulan sebagaimana yang diharapkan. Kedudukan para pelajar dalam bilik darjah, suasana sekitaran, kekangan masa dan tumpuan untuk menghabiskan sukatan mendorong guru-guru beralih semula kepada kaedah pembelajaran tradisional. Akan tetapi menurut Zahrah (1996), interaksi antara guru dan pelajar dalam kerja kumpulan menentukan tahap pencapaian objektif pengajaran guru. Interaksi dua hala dan secara kumpulan merupakan iklim sosial pembelajaran yang paling berkesan.

2.1 Kaedah Pembelajaran Secara Konstruktivisme

Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar.A.N. Whitehead (1929) mengingatkan kita supaya tidak membebankan kanak-kanak dengan pengetahuan yang tidak berkembang (" dead knowledge").Apa yang diketengahkan oleh Whitehead ialah amalan mengajar di sekolah perlulah menjurus kepada usaha membolehkan kanak-kanak atau murid berfikir dalam persekitaran kehidupan dan mengelakkan daripada hanya memberi pengetahuan yang bersifat kaku ( inert ideas ) yang tidak mampu digunakan bagi menyelesaikan masalah harian.

Barnes (1976) dan Bransford (1986) mengkaji tentang'inert ideas' mendapati kebanyakan pengetahuan yang diajar di sekolah adalah terasing daripada cara kanak-kanak berfikir.Menurut Bransford ramai yang berpandangan bahawa pengetahuan yang didapati di sekolah hanya merupakan pengetahuan yang dipindahkan dari seseorang kepada seseorang yang lain. Pengetahuan tersebut hanya cukup untuk menjawab soalan daripada guru ataupun untuk menjawap soalan-soalan peperiksaan sahaja tetapi ianya tidak menunjukkan pengetahuan individu secara keseluruhan. Pengajaran yang lazim diamalkan oleh kebanyakan guru masa kini masih lagi berasaskan kepada amalan yang sama iaitu menyuap murid-muriddenganpengetahuan bagi membolehkan pelajar menjawab dengan betul dalam peperiksaan tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah yang melibatkan pengaplikasian pengetahuan tersebut.

Pengajaran dan pembelajaran berasaskan konstruktivisme menyeimbangkan peranan guru dan pelajar untuk berperanan secara saling bersandar di antara satu sama lain. Ahli konstruktivisme berpendapat bahawa guru adalah sebagai pengurus bilik darjah. Guru seharusnya menerima murid sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza dimana individu itu dianggap penting dalam proses pembelajaran dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Pengajaran dan pembelajaran konstruktivisme memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dan menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan.

Seseorang guru boleh mengamalkan pendekatan konstruktivisme dengan mengambil kira beberapa faktor :

  • Murid diberi peluang berkongsi persepsi antara satu sama lain

  • Murid diberi peluang mengemukakan pandangan tentang sesuatu konsep

  • Murid digalakkan menghormati pandangan alternatif rakan mereka

  • Semua pandangan murid dihormati dan tidak dipandang rendah

  • Pembelajaran berpusatkan murid

  • Guru mementingkan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir

  • Murid digalakkan merenung kembali proses pembelajaran yang dilaluinya

  • Murid diminta menghubungkaitkan idea asal dengan idea yang baru dibina

  • Murid digalakkan mengemukakan hipotesis

  • Guru tidak menyampaikan maklumat secara terus kepada murid

  • Murid banyak berinteraksi dengan murid lain dan guru

  • Guru perihatin terhadap keperluan , kebolehan dan minat murid

  • Murid digalakkan bekerja secara kumpulan

Suasana bilik darjah di mana amalan konstruktivisme dijalankan adalah berpusatkan murid dan berpusatkan bahan. Di samping itu guru akan menggunakan penyoalan bukan untuk menguji kefahaman murid tetapi adalah untuk menguji kemahiran murid dalam membina konsep.





2.1.1 Peranan Guru Dalam Pengajaran Secara Konstruktif

Pengamal teori konstruktif berpendapat bahawa guru adalah sebagai pengurus bilik darjah. Guru seharusnya menerima murid sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza di mana setiap individu itu penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran tanpa menafikan hak mereka di dalam mengutarakan sebarang pendapat mahupun idea yang berkaitan dengan pembelajaran pada waktu itu..keadaan ini secara tidak langsung menjadi penyokong kepada minat murid dalam pembelajaran dan akan terhapusnya situasi keterasingan di kalangan pelajar dan murid-murid sendiri.

Kefahaman murid terhadap fakta akan lebih berkesan dan mantap dengan mengabung jalinkan antara pengalaman sedia ada dan fakta yang sedang dibina. Selain dari itu guru perlu mengelakan diri dari beranggapan bahawa minda murid sebagai tin kosong yang hanya cukup diisi dengan fakta dan pengetahuan baru sebaliknya mengambil kira,menilai,mengukur keterlibatan dan kefahaman mereka dalam mengembangkan maklumat yang disampaikan sewaktu proses P&P.Peranan guru sebagai pembimbing dan fasilitator juga dapat membantu dalam mengawal disiplin para pelajar dengan baik.

Di dalam menghadapi situasi di mana kewujudan murid yang enggan melibatkan diri di dalam aktiviti P&P,Golongan pendidik seharusnya lebih kreatif dalam mempelbagaikan aktiviti serta mengajukan pelbagai persoalan sebagai ransangan terbaik sebagai jaminan keterlibatan aktif murid-murid dalam menemukan idea-idea terbaru.Melaui teori konstruktif ini kita tidak lagi melihat aktiviti P&P berpusatkan murid.

2.1.2Peranan Murid Dalam Pengajaran Secara Konstruktif

Perbincangan teori konstruktif menyatakan bahawa murid sekali-kali tidak menganggap guru hanya sebagai pembekal maklumat tetapi sebagai sesuatu dari sumber pengetahuan untuk membantu mereka mencari maklumat dan peransang bagi mereka berfikir dan berkomunikasi.Ilmu baru yang terbentuk adalah berasakan kepada inisiatif diri individu dan perkongsian pandangan dikalangan mereka selain mengadaptasi setiap pengalaman yang dilalui dengan alam sekeliling sewaktu sesi P&P berjalan.Dengan wujudnya lontaran-lontaran idea dan pengalaman murid ini secara tidak langsung berjaya memecahkan suasana ‘dingin’ di kalangan pelajar itu sendiri.

Konstruktivisme adalah pendekatan yang memberi hak dan peluang untuk murid-murid belajar untuk belajar (learn how to learn) dengan membina makna dalam kerangka minda masing-masing berasaskan pengalaman dan persekitaran yang sedia ada. Ia menuntut agar guru lebih perihatin terhadap keperluan dan kehendak pelajar secara individu. Walaupun begitu konstruktivisme merupakan satu anjakan yang perlu diaplikasikan terutamanya dalam pendidikan matematik. Ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

2.2 Pengajaran Pembelajaran Berpusatkan Guru

Butler (1998) telah merumuskan empat stail pengajaran yang kebiasaannya dipraktikkan oleh guru dengan menggunakan terma tertentu iaitu:

2.2.1 Concrete Sequential

Guru menggunakan bahan hands-on, model kerja dan dilaksanakan secara demonstrasi untuk membantu pelajar memahaminya melalui pengajaran berbentuk task-oriented lessons.Stail pengajaran begini berbentuk satu hala yang lebih menekankan guru sebagai penyampai ilmu dan lebih berpusat kepada guru.

2.2.2 Abstract Sequential

Pengajaran stail ini lebih berbentuk bercakap atau penerangan secara lisan; guru menekankan usaha untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, membantu pelajar memikirkan kandungan tajuk dan menjana idea. Stail ini juga dilaksanakan lebih berbentuk satu hala antara guru dengan pelajar. Stail pengajaran ini lebih berpusatkan kepada guru.

2.2.3 Abstract Random

Guru menggunakan sepenuhnya minat dan keseronokan pelajar dalam pengajarannya. Pengajaran stail ini lebih berbentuk dua hala di antara guru dengan pelajar. Dalam stail pengajaran ini, guru-guru akan lebih banyak bertanya dan pelajar-pelajar menjawab soalan serta mengemukakan pendapat dan pandangan mereka sendiri.

2.2.4 Concrete Random

Guru menggunakan sepenuhnya berbagai sumber pengajaran dan melaksanakan aktiviti melalui kerjasama yang diberikan oleh pelajar. Pengajaran bentuk ini akan menggunakan berbagai-bagai aktiviti yang menyeronokkan dan menarik minat pelajar.Guru lebih bersifat sebagai pembimbing atau fasilitator, sementara pelajar-pelajar akan melakukan berbagai teknik pembelajaran bagi menguasai sesuatu tajuk atau isi subjek yang diajar kepada mereka.

Oleh itu, guru-guru perlu digalakkan mencuba pelbagai stail pengajaran yang baru, yang boleh menarik minat pelajar walaupun mereka tidak biasa dan merasa kurang selesa. Inidisebabkan peranan guru untuk membantu pelajar mendapatkan kemahiran baru melalui unfamiliar lerning style walaupun kadang-kadang membebankan guru; lebih penting lagi ialah pengajarannya memberi kesan dan impak yang baik kepada pelajar.



3.0 Program Head Start

Program Head Start adalah satu program yang diperkenalkan pada tahun 1964 di Amerika di bawah Head Start Bureau dan disokong oleh Administration for Children and Families dan dinaungi oleh U.S. Department of Health and Human Services. Tujuan program ini diperkenalkan untuk membantu kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah sebelum memasuki sekolah. Program ini meliputi kanak-kanak peringkat bayi , tatih dan prasekolah iaitu bagi kanak-kanak berumur antara 4-5 tahun

3.1 Komponen Head Start

Matlamat program Head Start ialah untuk membantu membasmi kemiskinan dengan memberi pendidikan kepada kanak-kanak dan keluarga menerusi program komprehensif yang dapat membantu keperluan mereka. Komponen utama Head Start adalah seperti berikut:

  • Pendidikan (fokus pada intelektual, sosial dan perkembangan emosi);

  • Kesihatan (termasuk imunisasi dan perubatan, pergigian, mental dan perkhidmatan pemakanan);

  • Penglibatan ibu bapa; dan

  • Perkhidmatan sosial (kekerapan hubungan dengan komuniti dan rujukan serta bantuan kecemasan dan penyelesaian masalah.

Program Head Start memerlukan pengurusan dan pentadbiran yang cekap. Program ni melibatkan semua peringkat kanak-kanak, guru, institusi, keluarga, komuniti dan organisasi pentadbiran yang melibatkan agensi kerajaan dan badan sukarela. Walau bagaimanapun program ini telah diberi penambahbaikan dengan menekankan empat aspek berikut:

  • Hasil akademik;

  • Kecekapan guru dan perkembangan profesional;

  • Kolarborasi dengan program lain dan sekolah kerajaan; dan

  • Bertanggungjawab untuk perkhidmatan.

3.2 Matlamat Penubuhan Program Head Start

Head Start adalah sebuah program yang diasaskan sebuah organisasi yang terancang di bawah naungan kerajaan. Program Head Start lebih kepada perkhidmatan sosial yang menyeluruh Program Head Start mempunyai matlamat iaitu memberi tumpuan kepada menyelesaikan kemiskinan menerusi pendidikan. Begitu juga dengan program Head Start yang cuba menyelesaikan kemiskinan secara menyeluruh. Program ini percaya kemiskinan boleh diatasi dengan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak golongan yang tidak berkemampuan. Teori perkembangan atau behavioris menjadi teras kepada program ini yang melihat pemeringkatan pembelajaran mengikut tahap umur. Hasilnya terbukti kanak-kanak yang mengikuti program Head start telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam akademiknya apabila kanak-kanak ini ke sekolah.

Asas falsafah dan matlamat Program Head Start ialah untuk menyediakan pengalaman untuk membantu kanak-kanak memasuki alam kehidupan masyarakat dengan lebih kejayaan. Pengalaman tersebut termasuklah penyusunan perkhidmatan dari peringkat awal, memberi pendidikan awal kanak-kanak, kesihatan dan pergigian, pemakanan dan pendidikan keibubapaan. Program Head Start lebih kepada memperkayakan pengalaman kanak-kanak ke arah perkembangan kanak-kanak. Penekanannya adalah meliputi semua aspek perkembangan kanak-kanak. Guru menyediakan aktiviti dan peralatan yang dipilih untuk menekankan pembelajaran pengalaman konkrit kepada kanak-kanak seperti berikut:

  • Memupuk konsep kendiri yang positif, deria kecekapan dan perasaan positif terhadap pembelajaran;

  • Menggalakkan kanak-kanak berfikir, alasan, penyoalan dan mencuba jaya (eksperimen);

  • Menggalakkan perkembangan bahasa;

  • Memupuk kemahiran dan perkembangan fizikal;

  • Menggalakkan dan menunjukcara tentang kesihatan, keselamatan dan amalan pemakanan;

  • Menggalakkan ekspresi kreatif dan apresiasi seni; dan

  • Menghormati kepelbagaian budaya guru dan kanak-kanak.

3.3 Program Head Start Di Malaysia

Program Head Start menjadi model rujukan program pendidikan awal kanak-kanak Malaysia iaitu KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara dan Prasekolah Annex. KEMAS menubuhkan kelas tadikan pada tahun 1970-an bertujuan untuk memberi peluang pendidikan awal kepada kanak-kanak di luar bandar. Jabatan Perpaduan Negara menubuhkan kelas tadika untuk memberi peluang kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan yang tinggal di bandar-bandar. Manakala matlamat penubuhan kelas prasekolah annex adalah untuk memberi peluang yang sama kepada kanak-kanak daripada golongan yang tidak berkemampuan di luar bandar dan di bandar. Walau bagaimana pun program prasekolah di Malaysia telah disesuaikan dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara disamping memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak.

Program Head Start kurikulumnya berdasarkan ketetapan National Association for the Education of Young Children. Amalan yang bersesuaian digunakan sebagai asas pembentukan kurikulum Head Start. Panduan pembentukan kurikulum adalah seperti berikut:

  • Amalan kurikulum yang bersesuaian dibentuk untuk membina pengetahuan kanak-kanak dan kemahiran dalam setiap aspek perkembangan iaitu fizikal, emosional, sosial dan intelektual dan dapat membantu kanak-kanak belajar cara belajar menerusi pendekatan integrasi (bersepadu) atau merentasi kurikulum;

  • Perancangan kurikulum menekankan pembelajaran sebagai proses interaktif menerusi penerokaan aktif dan interaksi bersama orang dewasa, kanak-kanak dan peralatan;

  • Aktiviti pembelajaran dan bahan hendaklah daripada yang konkrit, boleh dilihat (jitu) dan bersesuaian dengan kehidupan kanak-kanak merupakan kunci untuk mendorong kepada pembelajaran yang bermakna di peringkat kindergarten dan sekolah rendah. (Program Head Start untuk kanak-kanak berusia antara 3 – 5 tahun dan Kindergarten umur 6 tahun di sekolah rendah). Buku kerja, buku mewarna dan model lukisan dan kraf yang dihasilkan oleh orang dewasa tidak bersesuaian untuk kanak-kanak;

  • Program menyediakan peluang yang luas terhadap minat perkembangan dan keupayaan bukan daripada urutan kumpulan umur. Pembentukan kurikulum menggunakan aras keupayaan, perkembangan dan gaya pembelajaran yang dijangkakan;

  • Guru menyediakan pelbagai aktiviti dan peralatan; guru meningkatkan tahap kesukaran, kerumitan dan cabaran pada aktiviti semasa kanak-kanak terlibat dan dengan cara itu kanak-kanak membina kemahiran dan kefahamannya; dan

  • Aktiviti luar dirancang setiap hari supaya kanak-kanak boleh membina kemahiran motor kasar, belajar tentang persekitaran dan menyatakan secara bebas.

Pendekatan pengajaran guru mengikut pendekatan Head Start seperti yang dinyatakan oleh Child Development adalah seperti berikut::

  • Memantapkan dan mengekalkan keselamatan dan persekitaran pembelajaran yang sihat;

  • Kemahiran fizikal dan kecekapan intelektual;

  • Memupuk perkembangan sosial dan emosional dan menyediakan bimbingan;

  • Memantapkan hubungan positif dan produktif dengan keluarga;

  • Memastikan perjalanan program lancar, berfaedah dan bertanggungjawab kepada keperluan mereka yang terlibat; dan

  • Mengekalkan komitmen kepada profesionalisme.

Berdasarkan kenyataan di atas peranan guru Head Start lebih menyeluruh daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah keluarga dan komuniti. Guru juga berperanan untuk mengenal pasti kelewatan pencapaian kanak-kanak menerusi intevensi. Langkah ini diambil bertujuan untuk meningkatkan pencapaian kanak-kanak dan mengatasi masalah yang dihadapi daripada berbagai aspek.



4.0 Persediaan Rancangan Mengajar

Persediaan rancangan mengajar perlu disediakan oleh guru sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Tujuan persediaan rancangan mengajar untuk memudahkan guru bersedia dan berkeyakinan semasa mengajar. Persiapan lebih awal menghasilkan pengajaran yang berkesan. Biasanya persediaan mengajar adalah dirancang pada awal tahun sebelum kelas dibuka. Guru mempunyai masa yang panjang untuk menentukan topik-topik komponen yang akan diajar sepanjang tahun. Persediaan rancangan mengajar sebaikbaiknya fleksibel mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan semasa.

Persediaan rancangan mengajar harian ialah perancangan jangka pendek. Biasanya guru menyediakan rancangan mengajar untuk sehari sahaja. Rancangan tersebut adalah sebahagian unit yang diambil daripada rancangan mingguan Terdapat berbagai cara penyediaan rancangan mengajar. Walaupun terdapat perbezaan cara penyediaan tetapi tujuannya sama iaitu merancang persediaan untuk pengajaran sehari. Penyediaan rancangan mengajar harian perlu dirujuk dengan jadual waktu mengajar. Di dalam jadual terdapat masa dan aktiviti rutin. Kita perlu memikirkan kesesuaian komponen pengajaran yang akan disampaikan pada hari itu. Perancangan pengajaran harian lebih terperinci penyediaannya dan dapat memastikan pengajaran dilaksanakan dengan berkesan

Berikut adalah panduan untuk merancang persediaan mengajar untuk pengajaran harian:

4.1 Analisis Pelajar


Di dalam menganalisis pelajar, aspek-aspek perlu diberi perhatian ialah ciri-ciri umum pelajar, kompetensi khusus peringkat masuk dan stail pembelajaran murid.


      1. Ciri-ciri umum pelajar


Ciri-ciri umum pelajar yang perlu diketahui oleh guru sebelum guru masuk mengajar ialah tentang tajuk atau perkara yang hendak disampaikan kepada pelajar untuk esok hari. Guru juga perlu mengambil kira faktor umur, kebolehan pelajar, latar belakang tempat, dan pengetahuan sedia ada murid. Pengetahuan tentang ciri-ciri umum murid ini perlu dikuasai oleh guru kerana perkara-perkara yang hendak diajar oleh guru mestilah sesuai dengan mereka. Jika tidak, tentulah guru melakukan perkara yang sia-sia kerana kanak-kanak tidak mampu menyerap apa yang hendak disampaikan oleh guru kerana katidaksesuaian apa yang diajar dengan tahap pemikiran mereka.


      1. Kompetensi Khusus Peringkat Masuk


Guru haruslah boleh menarik minat murid-murid mengikuti pembelajaran dengan menggunakan kaedah-kaedah pengajaran yang dirasakan mampu menarik minat kanak-kanak untuk belajar. Misalnya guru akan menggunakan komputer di dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Di samping itu guru telah menyediakan beberapa alamat URL untuk membolehkan murid-murid melayari internet.. Diharapkan dengan cara ini akan membantu menarik minat mereka dan dapat memudahkan mereka mencapai objektif yang dihasratkan. Di samping itu guru hendaklah dapat menyediakan aktiviti yang pelbagai bagi merangsang pembelajaran kanak-kanak yang mempunyai pelbagai kebolehan.



    1. Stail Pembelajaran


Guru haruslah mengetahui stail pembelajaran kanak-kanak yang mereka gemari. Bagi menarik minat murid menggunakan komputer dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, murid mungkin boleh diberikan kerja berkumpulan. Murid juga boleh diminta untuk menaip jawapan di dalam soalan mengisi tempat kosong. Dalam latihan seterusnya murid diminta menjawab soalan betul salah secara penandaan sahaja. Di dalam latihan yang lain, murid diminta menyusun kalimah supaya membentuk doa yang betul dan lengkap.


4.3 Nyatakan Objektif

Objektif pelajaran boleh dianggap sebagai hasil perlakuan murid-murid selepas proses pembelajaran. Objektif yang ditulis di dalam rancangan pengajaran ini adalah mengikut kehendak di dalam Sukatan Pelajaran dan telah ditulis berdasarkan aras murid yang boleh dicapai. Objektif yang ingin dicapai mestilah mengambil kira perbezaan individu di dalam kelas ini. Objektif yang hendak dicapai mestilah objektif yang boleh diukur dan boleh dilihat perubahan dari segi taingkah lakunya


4.4 Pilih Kaedah, Media Dan Bahan


Setelah menjalankan analisis murid, guru boleh mengenal pasti beberapa kaedah boleh digunakan bagi murid kelas ini iaitu kaedah latih-tubi, kaedah penyoalan, kaedah perbincangan dan kaedah sumbangsaran. Kaedah-kaedah ini pula perlu berkait rapat dengan media dan bahan yang akan digunakan di dalam rancangan mengajar ini.


Di dalam memilih kaedah, media dan bahan ini pula beberapa aspek telah di ambil kira iaitu :



4.4.1 Pemilihan kaedah


Setiap kaedah yang digunakan di dalam rancangan pengajaran harian ini telah mengambil kira faktor perbezaan murid. Kaedah-kaedah ini dipelbagaikan berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya bagi set induksi, guru mungkin boleh menggunakan kaedah soal jawab.


Guru haruslah memilih dan menggunakan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai dengan setiap langkah atau perkembangan di dalam pengajaran dan pembelajaran. Perubahan kaedah-kaedah pengajaran dari satu langkah kepada satu langkah yang seterusnya mestilah dilakukan dengan bijak supaya proses pengajaran dan pembelajaran nampak licin dan teratur.


Jika kaedah-kaedah pengajaran yang digunakan ini bersesuai dengan murid-murid maka ia berupaya memotivasikan murid, membantu murid membina kefahaman, mengekalkan tumpuan murid dan membantu kearah pencapaian objektif.


      1. Pemilihan Media


Perkara yang perlu dititikberatkan dalam membina rancangan pengajaran ialah media yang digunakan di dalam rancangan pengajaran itu. Media digunakan adalah bertujuan menyokong kaedah yang digunakan. Menurut Yusof Hashim (1998) model RP yang berorientasikan bilik darjah (model ASSURE) tidak menggalakkan guru membina bahan pengajaran, sekadar hanya memilih bahan sahaja.


Media-media yang digunakan ini mestilah memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu sepadan dengan kurikulum, maklumat tepat dan terkini, bahasa yang jelas dan tepat, menggalakkan penglibatan murid dan menarik minat dan mencetuskan motovasi murid.


      1. Mereka Bentuk Media


Guru boleh memilih media pengajaran mereka yang difikirkan sesuai dengan pengajaran mereka pada hari ini. Guru boleh memilih apa sahaja media pengajaran asalkan media itu boleh:

  • Membantu pencapaian objektif

  • Guru mempunyai kepakaran teknikal untuk membinanya

  • Peralatan untuk membina yang mencukupi


4.5 Gunakan Media dan Bahan


Media dan bahan yang telah dipilih dan disediakan tadi akan digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran . Penggunaannya adalah berdasarkan kriteria berikut :


4.5.1 Pribiu Bahan

Guru akan memastikan bahan yang akan digunakan itu berfungsi dan membantu pencapaian objektif. Sebagai contoh, jika guru hendak menggunakan OHP, komputer riba dan L.C.D di dalam pengajaran mereka, guru perlu memastikan bahawa semua alatan ini dapat berfungsi dengan baik agar dapat digunakan semasa proses pengajaran. Ketidakfungsian media ini semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung pastinya akan menganggu penumpuan murid dan menjejaskan kewibawaan guru itu sendiri. Guru juga perlu cuba memastikan bahawa bahan yang disediakan itu benar-benar bersesuaian dengan kehendak pengajaran dan pembelajaran.


4.5.2 Sediakan Bahan

Bahan-bahan yang akan digunakan ini perlulah disediakan setelah perancangan dibuat. Di dalam menyediakan bahan-bahan ini, guru sudah semestinya mengumpulkannya dan menyusunnya mengikut urutan dalam perancangan yang telah dibuat. Harus ditekankan juga di dalam penyediaan bahan ini ialah guru semestinya tahu bagaimana hendak mengendalikan bahan yang telah dipilih itu agar tidak timbul masalah semasa pengajaran berlangsung.


4.5.3 Sediakan persekitaran

Guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang sesuai dengan tajuk yang hendak diajar dan media yang akan digunakan. Sekiranya guru mengajar memerlukan komputer dan rangkaian internet, guru perlulah mengajar di dalam makmal komputer yang sememangnya menyediakan kemudahan itu. Guru perlu memastikan keadaan di dalam makmal adalah kondusif, mempunyai perlatan sokongan bagi membantu penggunaan media yang telah dipilih seperti soket elektrik bagi membantu penggunaan OHP, LCD dan komputer riba. Bahan-bahan yang akan digunakan d dalam kajian stesen bagi rancangan pengajar harian ini pula diletakkan di atas meja makmal bagi menjimatkan masa.


4.5.4 Sediakan Pelajar

Menurut .salah satu daripada faktor yang mempengaruhi pembelajaran murid ialah kesediaan pelajar. Bagi membantu murid melalui proses pembelajaran yang bermakna dan membantu ke arah kesediaan murid guru akan menggunakan cara yang berikut iaitu :

  • Membangkitkan motivasi murid melalui set induksi

  • Menarik minat murid dengan mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran

  • Cuba mengekalkan minat murid melalui penerangan dan perbincangan serta penggunaan bahan yang betul.

4.5.6 Sediakan Pengalaman Pembelajaran


Setelah guru menyediakan murid terhadap tajuk pelajaran, maka beberapa cara telah digunakan untuk memberikan pengalaman pembelajaran kepada murid. Contohnya adalah seperti berikut, iaitu :

  • Memberikan murid pengalaman melalui aktiviti menggunakan sendiri komputer

  • Menstruktur idea murid melalui penerangan dan perbincangan dengan meggunakan tayangan powerpoint

  • Memberikan peneguhan positif bagi memberikan respon kepada tingkah laku baik murid.


4.6 Libatkan Pelajar


Bagi memastikan proses pembelajaran ini berkesan, guru telah merancang agar semua murid dapat melibatkan diri di dalam setiap aktiviti yang dirancangkan. Antara contoh aktiviti yang telah digunakan di dalam rancangan mengajar harian ini ialah aktiviti menonton petikan video dan bersoaljawab bagi langkah pertama dan kedua. Berinterksi dengan komputer melalui aktiviti latihan pada langkah yang ketiga. Bagi sesi penutup pula guru melibatkan pelajar dengan sesi soal jawab.


4.7 Nilai Dan Semak Semula


Penilaian yang dibuat adalah untuk melihat objektif yang dinyatakan telah tercapai atau tidak. Sekiranya objektif tidak tercapai maka guru perlu mengkaji semula pengajarannya dan media yang telah digunakan untuk mengolah semula pengajaran yang akan datang di mana keputusan dalam penilaian ini akan mempengaruhi pembelajaran seterusnya.


Penilaian ini dilakukan sepanjang proses pengajaran iaitu sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran. Ianya juga memerlukan guru untuk menilai bukan murid sahaja, tetapi termasuk juga media dan kaedah yang digunakan. Sebagai contoh, sebelum pengajaran analisis murid dijalankan untuk disesuaikan dengan kandungan, kaedah dan media yang digunakan.


Aspek yang dinilai untuk proses nilai dan semak ialah :


4.7.1 Pencapaian murid


Secara umumnya pencapaian murid terbahagi kepada tiga iaitu :

1. Prestasi murid berdasarkan rujukan kriteria

2. Prestasi murid berdasarkan kemahiran

3. Sikap murid

Sikap murid pula boleh dinilai melalui pemerhatian atau pun menggunakan soal –soalan kaji selidik


4.7.2 Kaedah dan media


Bagi menilai kaedah dan media, guru boleh membuat refleksi sendiri selepas pengajaran berlaku. Namun begitu penilaian boleh dilakukan pada setiap tahap dalam model ASSURE lagi kerana model ini memang berteraskan kepada penggunaan media dan untuk mengesan sebarang masalah adalah lebih baik dimulakan daripada peringkat awal.

Secara ringkasnya guru boleh menilai beberapa perkara bagi menguji keberkesanan kaedah dan media yang digunakan iaitu :

  • Keberkesanan media / kaedah yang digunakan

  • Cara mempertingkatkan lagi media / kaedah yang digunakan

  • Peranan media / kaedah dalam pencapaian objektif

  • Adakah media / kaedah yang digunakan dapat menarik minat murid?

  • Adakah media / kaedah yang digunakan dapat melibatkan semua murid?


Kesimpulan

Pendekatan dan aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran adalah perlu dikuasai oleh guru pendidikan awal kanak-kanak. Pendekatan pengajaran membantu guru untuk melaksanakan kurikulum yang dirancang. Aktiviti pembelajaran pula membantu pengukuhan pembelajaran kanak-kanak. Manakala teknik pengajaran yang berkesan dapat menyampaikan kandungan pelajaran dengan menggunakan pelbagai media. Hasil pembelajaran murid didokumentasikan dan boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada guru terhadap pencapaian muridnya. Transisi merupakan aspek yang penting dalam pendidikan awal kanak-kanak dan perlu difahami oleh guru.

Memahami pendekatan dan aktiviti pendidikan awal kanak-kanak adalah penting untuk persediaan guru sebelum mengajar murid-murid di kelas prasekolah. Kefahaman tentang pendekatan-pendekatan dalam pengajaran lebih memberi keyakinan dalam melaksanakan aktiviti kurikulum. Perancangan pengajaran guru lebih berkesan dan mempunyai prinsip mengajar yang betul untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Guru harus bijak dalam menjana kreativitinya untuk mewujudkan ruang berkenaan sebagai pusat pembelajaran dengan mengambil kira aspek keselesaan , keselamatan dan memanfaatkan kepada murid. Semestilah pusat pembelajaran yang kondusif.Untuk menjadikan sesebuah tadika itu sebuah tempat yang selamat dan penghuninya terjamin dari segi kesihatan sesebuah taska itu harus dapat meransang pembelajaran murid-muridnya. Guru tadika harus memfokus kepada pengukuhan kemahiran bahasa,kemahiran berfikir dan penerapan nilai-nilai murni seperti kerjasama ,bertolak ansur dan meningkatkan keyakinan diri.

Alat dan bahan yang disediakan boleh diubah suai dan ditambah dari masa ke semasa. Guru seharusnya menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut di dalam ruang yang disediakan. Untuk itu pengwujudan ruang tersebut seharusnya mempunyai nilai teraputik yang mampu memberikan keselesaan kepada murid-murid. Pengurusan ruang yang baik membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan secara lancar dan berkesan. Ruang –ruang utama seperti ruang dalam bilik darjah, ruang penyediaan makanan, ruang bilik air dan ruang luar bilik darjah merupaka pusat pembelajaran bagi murid. Oleh itu sekiranya salah satu ruang tersebut tidak ada maka tidak lengkaplah keperluan asas dan fizikal di kelas taska.

Kepentingan dalam menyediakan rancangan pengajaran adalah penentu keberkesanan pelaksanaan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan. Persiapan awal sebelum memulakan pengajaran dapat membantu guru mengenal pasti keperluan pembelajaran murid. Di samping itu guru dapat menambah baik kandungan, hasil pembelajaran, pendekatan dan aktiviti pembelajaran murid dengan menggunakan bahan dan peralatan yang bersesuaian serta menarik minat murid. Persediaan dan perancangan yang teratur memberi kesan yang positif kepada guru dan murid.

Memahami pendidikan awal kanak-kanak dari asek perbandingan adalah penting untuk mengukuhkan kefahaman guru dan juga pengkaji bidang ini. Kefahaman ini akan menjadi pegangan untuk mengenalpasti perbezaan setiap program dan model. Penambahbaikan terhadap program yang sedia ada di Malaysia dengan membandingkan program di luar negara. Banyak yang boleh dipelajari daripada program dan model pendidikan awal kanak-kanak daripada luar negara. Secara tidak langsung mereka yang terlibat dengan bidang ini akan merancang mengikut kesesuaian kanak-kanak, masyarakat dan budaya.
































Rujukan

Putri Zabariah A. R., Bustam K. & R. Hamizah. (2005). Tadika Berkualiti. Pahang: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

White C. S, & Coleman, M. (2000). Early Childhood Education: Building a Pholosophy for Teaching. NJ: Merill Prentice Hall.

Norhasyimah Hasyim(2003) Panduan Pendidikan Pra Sekolah.Malindo Printers, Selangor.

Sufean Husin(1993) Pendidikan Di Malaysia: Sejarah ,Sistem dan Falsafah. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur

Kementerian Pendidikan Malaysia(1993) Garis Panduan Kurikulum Prasekolah. Pusat Perkembangan Kurikulum. Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan Malaysia(1993) Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (1993). Garis Panduan Kurikulum Prasekolah Malaysia.KL: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (1996). Kurikulum Prasekolah Kebangsaan. KL: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ministry of Education. (1984). Status Report of Pre-School Education. KL: Ministry of Education Malaysia.

http://www.geocities.com/hypatia_01_2001/ilmiahazie.htm

http://www.my-mmy.com/Amalan_Pembelajaran_Koperatif_oleh_Guru Matematik.html

23


No comments:

Post a Comment